News

Pembentangan Budget 2016: Penambahbaik infrastruktur logistik dan pengangkutan awam

budget-highway

Semasa membentangkan Bajet 2016, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Najib Tun Razak menyatakan bahawa kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur logistik, termasuklah membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan rel, serta lebuhraya pada 2016. Ini termasuk, Lebuhraya Damansara – Shah Alam, Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan Lebuhraya Central Spine Road.

Untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota pula, 900 juta ringgit diperuntukkan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak, yang akan dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.

Kerajaan juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai Masjid Tanah ke Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz, di Melaka.

Highway Photo (1)

Seterusnya, sebanyak RM42 juta disediakan bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Bharu. Kajian akan turut dilaksanakan, bagi pembesaran landasan di lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka.

Demi keselesaan penduduk di kawasan bandar, sistem Pengangkutan Awam yang efisien sedang rancak dibangunkan. Ini semua dilaksanakan dengan peruntukan yang besar kerana kita mahu memudahkan kehidupan rakyat di kawasan bandar.

Selain itu, Najib juga membentangkan status terkini tentang projek pengangkutan awam bersepadu MRT-LRT.

BMW_MRT_Train_Kuala Lumpur

Bagi projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer, akan boleh kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak 17.4 kilometer pula, akan boleh dinaiki pertengahan tahun 2016. Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai RM10 bilion.

Projek MRT jajaran Sungai Buloh – Semantan pula, juga dapat digunakan pada tahun 2016, pada bulan Disember. Manakala, Fasa 2 Semantan – Kajang dijangka siap pertengahan 2017. Projek ini, dengan jarak 51 kilometer sedang dilaksanakan dengan kos RM32 bilion.

BMW_MRT_Train_Kuala Lumpur

Hasil daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan awam lain seperti berikut:

Pertama: Projek MRT II dari Sungai Buloh – Serdang- Putrajaya dengan jarak 52 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan RM28 bilion. Kerja pembinaan direncana bermula dalam suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022;

Kedua: Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang dengan jarak 36 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan RM10 bilion. Ia mula dibina 2016 dan siap pada 2020. Disamping itu, Kerajaan juga akan meneruskan rundingan High Speed Rail dengan Kerajaan Singapura.

LRT3

Ketiga: Bagi perkhidmatan awam bas pula, projek Bus Rapid Transit atau BRT KL-Klang pada kos melebihi RM1.5 bilion, dan BRT Kota Kinabalu pada kos hampir RM1 bilion akan dilaksanakan.