Bikes, News

Modenas Perkenal ‘Mobile Service’ Untuk Pemilik Motosikal Modenas [+video]

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) buat kali pertama memperkenalkan perkhidmatan ‘Mobile Service’ khusus untuk pemilik motosikal Modenas di seluruh negara.

Perkhidmatan tersebut diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang tidak dapat datang ke pusat servis rasmi Modenas atau mana-mana pemilik motosikal Modenas yang mengalami kerosakan atau memerlukan bantuan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd. Kadir berkata, perkhidmatan terbaru ini adalah untuk memberi sokongan dan perkhidmatan nilai tambah kepada pemilik motosikal.

“Sebagai permulaan Mobile Service ni akan meliputi jarak merangkumi sejauh lingkungan 30km sahaja dari 5 buah pusat servis rasmi Modenas di seluruh negara. Namun jika ada pemilik yang mahu membuat temujanji untuk mobile service, kita juga menyediakan perkhidmatan pintu ke pintu,” katanya.

Mobile Service ini bergerak di dalam lingkungan 30km dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang lima hari seminggu. Selain itu, ia turut menawarkan perkhidmatan servis biasa dan juga motosikal yang masih di dalam waranti.

Manakala bagi pemilik yang mahu mendapat perkhidmatan ini di kediaman masing-masing, mereka perlu membuat temujanji terlebih dahulu melalui talian khidmat pelanggan 1-800-880-181.

Setiap perkhidmatan Mobile Service ini akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM10 dan itu tidak termasuk dengan caj alat ganti yang perlu ditukar jika motosikal mengalami kerosakan.

Semua pembayaran dilakukan secara tunai dan sebarang penggantian alat ganti perlu mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.

Menurut Amirudin, pengenalan Mobile Service ini adalah satu langkah untuk meningkatkan keyakinan dan kesetiaan pengguna terhadap jenama Modenas selain memberi satu pengalaman baru yang tidak pernah ditawarkan sebelum ini.

Beliau berkata, Modenas sentiasa mendengar dan mengambil kira idea dan pendapat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pemilik motosikal.

“Komitmen Modenas kepada pengguna sentiasa pada tahap terbaik kerana kami sentiasa mendengar dan mahu memberi yang terbaik agar mereka merasai satu pengalaman yang baik apabila memiliki jenama Modenas,” katanya.

Untuk keterangan lanjut orang ramai boleh menghubungi pusat servis Modenas Shah Alam (03-7848 3776), Johor Bahru (07-236 1695), Ipoh (05-249 8963), Gurun (04-466 8236) dan Kuantan (09-512 3380) atau talian khidmat pelanggan di 1-800-880-181.

Video ringkas dari Modenas, sumbangan dari rakan media AF di Roda-Roda