News

Honda Accord Baharu Kini Dari Harga RM144k

2016_Honda_Accord_facelift (7)

Honda Malaysia baru sahaja melancarkan Accord Generasi ke-9 yang telah direka semula bagi menawarkan nilai pakej yang hebat. Pada masa yang sama, ciri-ciri premium dikekalkan pada semua variannya.

Accord yang meraikan ulang tahun ke-40 pada tahun ini merupakan model utama Honda. Di Malaysia, lebih 75,000 unit Accord sudah berada di atas jalan raya dan ia kekal menjadi sedan eksekutif kegemaran sejak diperkenalkan pada tahun 2001, hasil daripada DNA kualiti, kehalusan buatan dan premium yang sedia ada.

Accord Baharu akan ditawarkan dalam 3 varian iaitu, 2.0VTi, 2.0VTi-L dan 2.4VTi-L. Harga bagi kesemua varian ialah RM144,800 (2.0VTi), RM153,800 (2.0VTi-L) dan RM172,800 (2.4VTi-L).

2016_Honda_Accord_facelift (8)

Accord Baharu ini telah direka semula untuk menawarkan penampilan luaran yang lebih sofistikated dan maskulin menerusi rekaan bampar hadapan baru. Di samping itu, lampu utama LED penuh gaya pada bahagian hadapan dan belakang serta rim dua tona berwarna hitam dan perak melengkapkan lagi penampilan dinamiknya.

Bagi memenuhi keperluan gaya hidup ekskutif moden, Accord Baharu dilengkapi unit Paparan Audio Skrin Sentuh Bersaiz Tujuh inci bersama i-MID yang serasi dengan Apple CarPlay dan ia juga serasi dengan Android Auto apabila ia dilancarkan nanti. Ciri Telefon Bebas Tangan Dengan Pengecaman Suara dan MirrorLink pula pasti memudahkan lagi urusan berkomunikasi dan hiburan ketika memandu.

Tahap premium yang ditawarkan oleh Accord kepada para pelanggannya dapat dilihat melalui ciri-ciri yang satu kelas lebih tinggi daripadanya. Terutama varian 2.0VTi, ia kini hadir dengan ciri-ciri seperti Kemasukan Pintar, Butang Penghidup Enjin dan Kawalan Jelajah yang biasanya boleh didapati pada varian tinggi 2.0L. Pada masa sama, varian tinggi 2.0VTi-L yang merupakan varian paling laris dilengkapi dengan pelbagai ciri tambahan seperti Honda LaneWatch, Cermin Pandang Belakang Auto Malap Penggilap Cermin Automatik, Tempat Duduk Berkuasa untuk Penumpang Hadapan, Beg Udara Sisi dan Beg Udara Jenis Curtain Sisi. Ciri-ciri varian 2.4VTi-L juga telah ditingkatkan lagi untuk memberi lebih nilai kepada para pelanggan.

2016_Honda_Accord_facelift (13)

Memandangkan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Honda, ketiga-tiga varian Accord kini dilengkapi 6 beg udara, selain Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Emergency Stop Signal (ESS), Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA), Multi-Angle Rearview Camera dan ISOFIX.

Honda Accord Baharu mengekalkan enjin yang terdapat dalam model sebelum ini. Varian paling tinggi dikuasakan oleh enjin 2.4-liter “Earth Dreams Technology” yang mampu menghasilkan 175 kuasa kuda dan 225Nm tork, manakala enjin 2.0-liter SOHC i-VTEC pula dapat menjana 155 kuasa kuda dan 190Nm tork. Kedua-dua enjin didatangkan dengan transmisi automatik 5-kelajuan.

2016_Honda_Accord_facelift (19)

Accord Baharu yang dilengkapi pelbagai ciri lebih baik ini merupakan model pertama Honda yang ditawarkan dengan warna baharu iaitu Biru (Obsidian Blue Pearl). Warna-warna baru lain yang ditawarkan pada rangkaian Accord Baharu ialah Putih (White Orchid Pearl) dan Perak (Lunar Silver Metallic). Accord Baharu juga boleh didapati dalam warna Kelabu (Modern Steel Metallic) dan Hitam (Crystal Black Pearl).

Ciri-ciri baru yang terdapat dalam Honda Accord Baharu

Honda Accord

Bagi memberi lebih nilai dan kemudahan kepada pelanggan, Accord Baharu hadir bersama jaminan selama 5 tahun dengan perbatuan tanpa had bersama selang servis setiap 10,000km.

Anda digalakkan untuk kunjungi mana-mana daripada 88 pengedar Honda di seluruh negara untuk maklumat lanjut mengenai Accord Baharu atau menempah sesi pandu uji. Anda juga boleh layari laman web www.honda.com.my untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.