News

Pencarian Rakan Strategi Asing Proton Berjalan Seperti Biasa, Semua Pembida Masih Bersaing

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar menegaskan bahawa semua pembida termasuk Geely and PSA Group masih lagi bersaing untuk dipilih menjadi FSP Proton.

“Ada laporan media yang menyatakan DRB-HICOM kini hanya mempunyai satu pembida. Saya ingin mengesahkan bahawa semua pihak yang membuat bidaan masih bersaing dan DRB-HICOM kini sedang menilai semua bidaan tersebut Kami kini di peringkat akhir proses yang teliti ini, dan akan menamatkan penilaian menjelang akhir separuh pertama tahun ini,” jelas beliau.

Pencarian rakan strategi asing (FSP) Proton adalah kunci untuk mengubah hala tuju pengeluar kereta tersebut kepada sebuah syarikat yang berdaya saing. Syed Faisal turut berkata keperincian terhadap setiap bidaan amat kritikal dalam proses penilaian semua bidaan yang diterima daripada pengeluar kereta global.

“Matlamat kami adalah untuk mengubah hala tuju Proton. Sekiranya kelebihan dan kekuatan Proton dapat dipertingkatkan dengan rakan baharu yang boleh menawarkan teknologi, keupayaan dan pasaran baharu, Proton bakal menjadi satu jenama yang disegani. Inilah sebab mengapa kami perlu terperinci dalam menilai bidaan yang diterima.

“Proton dan FSP baharu ini perlu mampu menghasilkan sinergi yang akan memastikan kejayaan kerjasama ini,” kata Syed Faisal.

Sumber: DRB-HICOM