News

Tun Dr Mahathir Meletak Jawatan Sebagai Pengerusi Proton dan Lotus

Proton_new_engine_cover

Proton baru sahaja mengumumkan peletakan jawatan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Proton, yang berkuatkuasa serta merta. Pada masa yang sama, Yang Amat Berbahagia Tun juga meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh Proton.

Tanpa mengulas dengan lebih lanjut punca peletakan jawatan beliau, dalam kenyataan yang baru sahaja dihantar oleh syarikat pengeluar automatif nasional tersebut menjelaskan,

“Kita menghormati hasrat Yang Amat Berbahagia Tun untuk berundur; kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan, komitmen dan dedikasi beliau sebagai Pengerusi sejak 2014 dan juga sebagai Penasihat sejak tahun 2003. Kami ingin mengucapkan terima kasih dan mengiktiraf peranan Tun Dr. Mahathir sebagai pencipta syarikat kereta nasional.”

Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Proton and Lotus pada 16 Mei 2014. Beliau juga pernah dilantik sebagai Penasihat Proton Group sejak akhir 2003 selepas melucutkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4 Malaysia.

Baru-baru ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut melepaskan jawatan beliau sebagai Penasihat Petronas kerana faktor usia serta ingin menumpukan perhatian kepada kesihatannya.