News

MPV Kompak Toyota Sienta Kini Berada Di Pasaran Dari Harga RM92,900!

Toyota Sienta - 31

Pengimport dan pengedar tunggal sah kenderaan Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) baru sahaja melancarkan Toyota Sienta serba baharu, sebuah MPV kompak urban yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan keluarga moden.

Dari sudut reka bentuk, Toyota Sienta serba baharu ini memiliki pendekatan rekaan yang sama sekali berbeza berbanding model-model lain Toyota. Imej golongan muda yang terserlah dari penggayaannya diinspirasikan daripada kasut trekking, yang mempamerkan karektor dinamik dan kepelbagaian fungsi kegunaan. Rekaannya juga menyerlahkan bentuk tiga dimensi dengan kemasan yang meminjam ideanya daripada pelindung kasut.

Toyota Sienta - 2

Pada majlis pengenalan rasmi model ini kepada media, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, “Toyota Sienta serba baharu merupakan model pertama kenderaan 7 tempat duduk yang diasaskan daripada kereta penumpang yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Walaupun dengan rekabentuk badan yang kompak, pakej keseluruhannya mampu memberikan kepelbagaian penggunaan dan menyediakan ruang yang luas bagi semua penumpang dan barangan yang dibawa.”

“Bagi pasaran lain seperti di Indonesia, maklumbalas umum terhadap Toyota Sienta serba baharu ini sangat menggalakkan. Kami berharap sambutan yang sama akan diterima daripada pelanggan di Malaysia,” tambah beliau.

Toyota Sienta - 30

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki pula menyatakan, “Toyota Sienta serba baharu ini dibangunkan bagi memenuhi keperluan keluarga moden di bandar, yang menginginkan nilai premium dan rekaan unik serta tersendiri bagi kenderaan mereka dan bukannya sekadar kenderaan biasa. Penampilan model ini juga agak berbeza daripada MPV yang pernah ada sebelum ini.”

Toyota Sienta serba baharu ini ditawarkan dalam 2 varian – Sienta 1.5V dan Sienta 1.5G – dengan 6 pilihan warna dan dibawa masuk dari Indonesia.

Toyota Sienta - 1

Menggerakkannya ialah enjin petrol baharu 1.5 liter dengan Dual VVT-i yang membolehkan penyelarasan berterusan bagi bukaan dan penutupan injap di kedua-dua bahagian masukan serta ekzos.

Penyelarasan berkenaan dilakukan secara elektronik, bergantung kepada keadaan pemanduan. Kelebihannya, ia membolehkan janaan kuasa optimum sentiasa dapat dicapai. Dalam masa yang sama, ia meningkatkan kecekapan penggunaan minyak dan mengurangkan pembebasan sisa pembakaran dari enjin.

Toyota Sienta - 26

Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin berkenaan ialah 107 PS pada 6,000 rpm dengan tork sebanyak 140 Nm pada 4,200 rpm, dan disalurkan ke tayar hadapan melalui transmisi dari jenis Continuosly Variable Transmission (CVT).

Jurutera Toyota memilih CVT di atas faktor kecekapan tinggi dan kelancaran yang ditawarkan. Ia kini turut dipertingkatkan dengan penggunaan Torque Converter. Pemandu juga boleh memilih antara 7 kedudukan gear yang ada menggunakan mod Sport Sequential Shiftmatic.

Sebagai sebuah MPV, pakej penawaran pada ruang kabin adalah sangat penting. Pereka kabin dalaman Toyota memberikan sebuah ruang dengan keupayaan pelbagai fungsi. Tiga baris tempat duduk, yang mampu memuatkan 7 penumpang, boleh diubah susun aturnya untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbeza. Melipat kerusi juga sangat mudah, manakala lantai mendatar memberi kelebihan kepada kapasiti ruang yang tersedia.

Toyota Sienta - 19

Toyota Sienta serba baharu ini juga turut didatangkan dengan ciri pintu gelungsur dikedua-dua sisi. Pintu jenis ini bukan sahaja memudahkan pergerakan keluar dan masuk kenderaan, tetapi turut menyediakan bukaan pintu yang luas.

Untuk keselesaan penumpang, kedua-dua varian yang ditawarkan dilengkapi dengan ciri pintu gelungsur berkuasa (hanya disebelah kiri bagi Sienta 1.5G) yang boleh dibuka dan ditutup dengan tiga cara; melalui pemegang pada pintunya, butang pada kunci serta suis pada papan pemuka. Ia turut disertakan dengan sistem Smart Entry & Start dimana enjinnya boleh dihidup atau dimatikan melalui satu butang sahaja.

Toyota Sienta - 22

Dengan rekaan untuk memuatkan 7 orang penumpang dalam satu masa, ruang simpanan barang seperti untuk bekas minuman, peranti elektronik peribadi dan sebagainya turut disediakan. Sekurang-kurangnya 14 ruang berkenaan tersedia di dalam kabin.

DSC_7884-tile

Dari segi keselamatan Toyota Sienta turut dilengkapi dengan dua beg udara SRS bahagian hadapan, termasuk satu lagi beg udara lutut yang terletak di bawah kolum stereng bagi pemandu. Selain daripada itu, model ini juga mempunyai Vehicle Stability Control (VSC) dan Hil start-Assist Control (HAC).

Toyota Sienta serba baharu didatangkan dengan jaminan 5 tahun, tertakluk kepada terma dan syarat. UMW Toyota Motor mensasarkan penjualanannya sebanyak 2,500 unit menjelang akhir tahun ini dan sejak tempahan dibuka pada awal Jun yang lalu, Toyota telahpun menerima sebanyak 500 tempahan.

Toyota Sienta - 28

Toyota Sienta akan mula berada di bilik-bilik pameran Toyota seluruh negara pada 19 Ogos pada harga RM92,900 bagi varian 1.5G dan RM99,900 bagi varian 1.5V.

Layari laman web Toyota Malaysia di www.toyota.com.my untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.