News

Nikmati Diskaun 10% di KLK dan LPT1 Sempena Aidilfitri

ANIH Toll Plaza

Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, ANIH Berhad selaku pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) ingin menawarkan diskaun 10% untuk semua pengguna yang membuat bayaran secara elektronik di KLK dan LPT1. Diskaun itu akan ditawarkan secara 24 jam, bermula jam 12.00 pagi hari Rabu, 6 Julai 2016.

Pengarah ANIH Berhad, En Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein dalam satu kenyataan berkata, semua pengguna lebuh raya, khususnya di LPT 1 digalakkan untuk membuat bayaran tol secara elektronik bagi memperoleh manfaat diskaun selain membantu perjalanan menjadi lebih mudah.

Karak Highway (1)

“Diskaun ini sebahagian komitmen tanggungjawab sosial ANIH Berhad kepada pengguna KLK dan LPT 1 selain sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang sentiasa menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya kami,” katanya.

Disamping itu, ANIH Berhad juga telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai langkah untuk membantu pengguna menikmati perjalanan yang lebih selesa di KLK dan LPT 1 pada waktu puncak di musim cuti perayaan Aidilfitri.

Jadual TTA Aidilfitri 2016 memberi penekanan trend perjalanan yang akan bermula dari 2 hingga 3 Julai 2016 (bagi yang ingin pulang ke negeri di Pantai Timur), dan 9 hingga 10 Julai 2016 (untuk pengguna kembali semula ke ibu kota).

“Kami menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan KLK dan LPT 1 pada waktu puncak akan meningkat kepada 264,258 kenderaan sehari. Ia merupakan peningkatan sebanyak 87% berbanding hari-hari biasa, iaitu sebanyak 141,000 kenderaan sehari. Waktu puncak dijangka akan bermula pada 1 hingga 3 Julai 2016 dan 8 hingga 10 Julai 2016,” katanya.

Karak Highway (2)

Jadual TTA yang diperkenalkan ANIH Berhad sejak 2009, terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia dirangka berdasarkan kepada analisis pergerakan trafik pada waktu puncak setiap kali musim perayaan pada tahun sebelumnya.

A4_BM

Dalam pada itu, pengguna juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di KLK dan LPT 1 menerusi laman sosial Twitter di akaun @LPTTrafik atau Facebook di akaun Lebuhraya Pantai Timur, papan tanda elektronik di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.