News

‘Jump Start’ Proton Ketika Kecemasan: Apabila Rasa Ragu, Rujuk Buku Panduan

Bagaimana untuk bantu mula kenderaan anda - BM

Baru-baru ini terdapat kenyataan palsu yang tersebar di media sosial yang menyatakan bahawa kereta model Saga FLX, Exora, Suprima S, Preve dan Iriz tidak boleh bantu mula (jump start) kerana ia akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada Unit Kawalan Transmisi (TCU). Proton telah menjelaskan bahawa kenyataan tersebut adalah kurang tepat dan ingin menegaskan bahawa semua kereta Proton boleh melalui tindakan bantu mula (jump start).

13393952_10207156320772019_8485297976860032706_n

Walau bagaimanapun, seperti OEM yang lain, kereta-kereta Proton telah dilengkapi dengan sistem elektronik yang sensitif kepada lonjakan kuasa. Untuk memberikan jaminan kepada pemilik Proton bahawa penggunaan kabel bantu mula adalah selamat untuk menghidupkan enjin, ikut langkah-langkah yang betul, seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan Pemilik Proton.

Menurut pemilik syarikat kereta tersebut, untuk bantu mula kereta, anda perlu menyambungkan terminal (+) bateri dari kereta yang membantu kepada terminal (+) bateri kereta yang terjejas. Akan tetapi, terminal (-) dari kereta yang membantu mesti disambungkan ke badan kereta yang terjejas, dan BUKAN di terminal (-) kereta terjejas tersebut. Apabila berasa ragu, selalulah merujuk kepada buku Panduan Pemilik Proton.

Langkah-langkah yang perlu diambil seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan apabila menggunakan kabel ‘jumper’ yang disambungkan kepada bateri dari kenderaan lain, seperti:

  • Kenderaan mestilah dirapatkan supaya kabel ‘jumper‟ boleh disambungkan, tetapi pastikan kenderaan tidak
    menyentuh satu sama lain. Sekiranya bersentuhan, ia boleh menyebabkan sambungan bumi yang tidak diingini.
    Kenderaan mungkin tidak akan dapat dihidupkan dan pembumian tidak diingini boleh merosakkan sistem elektrik (Unit Kawalan Transmisi, TCU).
  • Kenderaan yang membantu mestilah mempunyai bateri 12-volt dan keupayaan (Ah) bateri penggalak tidak boleh lebih rendah berbanding bateri yang tidak boleh digunakan, ini adalah untuk mengelakkan kerosakan litar pintas pada kedua-dua kenderaan.
  • Gunakan hanya kabel ‘jumper’ dengan pengapit bateri berpenebat.
  • Kenderaan mestilah berada dalam keadaan “P” (PARK) untuk transmisi automatik dan “N” (NEUTRAL) untuk
    transmisi manual.
  • Matikan pencucuhan pada kedua-dua kenderaan terlebih dahulu.
  • Apabila menyambungkan kabel penggalak, jangan sambungkan positif (+) kabel ke negatif (-) terminal atau ia akan menyebabkan percikan api dan bateri boleh meletup.
  • Kabel ‘jumper’ negatif (hitam) tidak boleh dikapitkan ke saluran bahan api dengan sarung logam atau ke penapis bahan api atau garisan brek kerana ini boleh menyebabkan kebakaran.
  • Hidupkan enjin kenderaan yang mempunyai bateri penggalak, biarkan enjin hidup untuk beberapa minit dan
    kemudian hidupkan enjin kenderaan yang terjejas.
  • Selepas enjin dihidupkan, buka sambungan kabel mengikut urutan terbalik.

Untuk panduan yang lebih terperinci, pemilik kereta Proton dinasihatkan untuk merujuk kepada buku panduan kenderaan  mereka sebelum melakukan apa-apa bantu mula kecemasan kepada bateri.

Untuk pemeriksaan lanjut dan penukaran bateri, hubungi Talian Khidmat Pelanggan Proton di 1800 888 398 atau emel kepada customercare@proton.com untuk sebarang pertanyaan dan bantuan.